Saturday, May 30, 2009

YANG KITA RINDUKAN

Buat Sahabat-sahabat....

Yang kita rindukan
Adalah ucap kata yang dikotakan
Adalah ucap janji yang ditunaikan
Kemudian menjadi seberkas harapan pembilang kehidupan
Di sepanjang perjuangan.

Yang kita rindukan
Langkah-langkah yang sebati
Di nurani akrab salam
Seorang ketua jujur dan bertutur kata lurus
Dalam rebut
Dalam kabut
Kehidupan.

Yang kita rindukan
Adalah kedamaian hijrah
Di balik tabir debu
Yang kerap kali mengusung jiwa
Menuju satu destinasi pertemuan

Yang kita rindukan
Adalah kejap yang rapat
Lekat dan dekat di hati sebelum menutup mata

Yang kita ridukan
Adalah nafas suci anak-anak
Yang dihembus
Apabila kita sudah tiada

Hikmah Meninggalkan Bicara BOHONG



Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan berkata bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.

Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."

Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku berberbicara benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."

Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.

Wednesday, May 13, 2009

BERKASIH SAYANG......

RENUNGAN

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja. Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja. Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.
Jika kamu menadah air biarlah berpada, Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang. Sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia masih boleh digunakan lagi.
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya.
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi, yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan dan berkhasiat. Mengapa kamu berlengah cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan, yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu dan mengasihimu. Mengapa kamu berlengah, cuba membandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak kamu akan kehilangannya dan apabila dia menjadi milik orang lain kamu juga yang akan menyesal.
“apabila dia pergi barulah kita tahu bahawa ia bernilai utk kita”

Adaptasi dari teks : Mohammad Alinor Abdul Kadir:
trimas

Monday, May 11, 2009

JANIS ABDULLAH

TERUSKAN PERJUANGAN

Lewat hembusan ini dipuput,teringat saya dengan satu ikatan yang makin lusuh dikunyah masa.Lama, masa telah merasa sua yang tidak lagi kerap seperti dulu.Dalam benakpun sering terguggah dan tertanya,kenapa agaknya.Saya hanya mengambil yang biasa dibicarakan tanpa bias kepada prasangka,kesibukan....

Ingatan ini begitu mesra dalam kejap,dan sering terbelenggu pertanyaan bila agaknya bertemu dengan beliau.Akhirnya,tinta ini menuturkan urutan-urutan kehilangan yang lama maka saya bisikkan....,TERUSKAN PERJUANGAN BUAT JANIS ABDULLAH.

Sesudah lama begini,sayapun dah tak tahu perjalanan seterusnya.Tetapi kami di sini sering mendoakan agar ada satu sinar cahaya yang akan tetap berkilau suatu masa nanti.Walaupun masa lalu,begitu lekat di hati tetapi sebagai insan biasa itulah kita.Kata orang "Jika betul perhitungannya...maka jadi mulialah dia mengalahkan Malaikat"

Dengar khabar yang tidak begitu akrab,USIA Tambunan semakin laju berjalan.Apakah ini hasil dari tangan pejuang Janis atau kebetulan.Saya mengenali ramai pelopor di sana,Saudara Jumain Jikah,Saudara Azmi Sidik (Sekadar menyebut beberapa nama) tapi apa jitu,kalau bukan kita siapa lagi.

Tak perlu jemu mendendangkan ungkapan,tak perlu jenu menyumbangkan sumbangan kerana semua itu pasti mendapat balasan,walau buka didepan mata tetapi cukuplah jika ada ole-ole dibawa pergi.

Sekali lagi,
teruskan perjuangan.Sebagai orang pejuang,dia tidak berhenti selagi bernafas.Tiada yang lebih indah di maya ini melain ukiran sebuah nama dan nama itu kita dirikan atas budi pada agama.

Satu masa khabarkan berita gembira bahawa kita sudah menakluk merhain untuk seribu tahun akan datang.Atau paling tidakpun generasi kita tidak ketandusan bicara bila berhimpun di gelanggang pada zamannya.Pastilah ini akan menjadi total dan molek kepada pewarisnya.

Wassalam...

Sunday, May 10, 2009

SEMINAR PENGURUSAN HAL EHWAL PELAJAR DAN PIBG

OLEH UNISEL

Kg.Bayangan,Keningau

Hari ini 10 Mei 2009 saya dan beberapa rakan menghadiri Seminar Kecemerlangan Pelajar dan PIBG anjuran Siswa Siswi Unisel di Kg Bayangan,sebuah desa yang telah diangkat darjatnya ke satu peringkat singgasana.Wajar dan tepat Bayangan dijadikan Kampung terbilang di Negara ini.

Hari ini juga inilah kali pertama bertemu dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah yang baru,saudara Azman Hj Roslan.Walaupun tak jauh dengan beliau tetapi pertemuan ini adalah yang pertama sejak beliau diangkat sebagai Pemimpin Pemuda Sabah.

Sempat juga lafazkan ucapan Tahniah.Rasanya belum lambat lagi tetapi ianya ikhlas sebagaimana keikhlasan persahabatan zaman kanak-kanak dahulu.

Sebagai insan berjiwa pejuang dan mengenang jasa pendidik,wajarlah beliau mengangkat martabat mereka ke satu tahap sokongan jitu.Katanya,"Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyokong penuh perjuangan Pendidik di Negara ini dan itu sesuatu yang wajar."

Beliau juga telah memberi jaminan,Pergerakan yang beliau pimpin akan berbuat apa saja yang termampu dalam menjayakan perancangan pendidikan sama ada di Pedalaman Keningau atau di Negeri ini.

"Kita akan memberi sokongan penuh atas apa yang akan dilakukan oleh warga pendidik sama ada di Keningau atau di seluruh Negeri.Kita akan bantu dalam apa juga yang termampu.Kita akan memberi sumbangan yang wajar dan kita akan sentiasa bersama demi untuk genarasi akan datang"

Nampak gaya,beliau bersungguh dalam rangkaian bicaranya.Itu yang kita harapkan.Cuma ingatan dari seorang sahabat,jangan saja ini menjadi SIARAN tetapi jelmakannya kepada SINARAN agar harum di halwa umum.

Kesimpulan dari apa yang diperolehi di SEMINAR PENGURUSAN HAL EHWAL PELAJAR DAN PIBG,adalah tawar dan tidak sampai kepada puncaknya.Ianya lebih kepada pembentangan masalah berbanding penyelesaian secara total.

Tahniah kepada PPD Tambunan Cikgu Kaipin.Saya melihat beliau telah labuhkan tirai seminar ini dengan baik,cuma sayangnya tak ada nota dibekalkan.

Secara keseluruhannya saya menghargai Seminar ini.Walaupun banyak sudut yang perlu dibaiki tetapi inilah satu usaha yang wajar dan perlu diteruskan.

TERIMA KASIH Kepada Siswa-siswi Unisel,jumpa lagi pada lemberan akan datang...

SELAMAT BERJUANG...
KISAH LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
KEMBARA DI TANAH ILAHI

Insyah-Allah,cuti ini akan bertemu lagi pejuang-pejuang kecil dalam meneruskan perjuangan suci.Membina bekal masa depan disamping meroboh tembok halangan yang akan dilalui.

Selamat Datang ke Kem Kepimpinan cuti ini,itupun jika Allah memberi ruang kepada semua sahabat yang sukarela.Kita mengharapkan agar ada ruang dan keupayaan meneruskan Program ini agar apa yang indah itu dapat kita tularkan kepada semua orang,semua insan yang berjuang bersama.

Kepada Nurilhakim,teruskan usaha murni anda,kalau bukan kita siapa lagi yang kita nak harapkan untuk menjadikan insan ini terbaik.Memangnya dalam hidup ada dugaan.Dugaan itu ada cabarannya dan cabaran itulah yang akan mendewasakan kita kelak.Sebagai insan sesama,mendoakan agar sukses dan sejahteralah perjalanan semua.

Wednesday, May 6, 2009

SATU PENGHARGAAN,SERIBU PENGHARAPAN

AZMAN HJ ROSLAN
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah

Salam TAHNIAH diatas perlantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah yang baru,Saudara Azman.Syabas juga kerana akhirnya dapat menempatkan diri dalam satu singasana yang sebenarnya menjadi impian dan anganan ramai orang muda.

Saudara terpilih kerana saudara adalah yang terbaik kalangan yang baik.Semua tahu bahawa matlamat utama "Anugerah Jawatan" itu bukan untuk dibanggakan (begitu kata sebahagian orang) dan jauh sekali menjaga kepentingan diri.Kalaulah pemimpin kita semua berpandapat demikian,rasanya makmur segala jiwa.Tenang semua perjalanan dan pastinya ada akrab di hati.

Saya mengenali beliau lebih dari seorang kawan tetapi itu 16 tahun yang lalu.Sesekali ada juga pertemuan-pertemuan yang tidak rasmi berlaku tanpa dirancang.Dari pertemuan-pertemuan silam,beliau adalah mesra,muda didakati dan yang paling intim adalah keakraban beliau kepada agama.

Hari ini,anda diatas dengan gelaran tepat SEORANG PEMIMPIN MUDA.Sebagai kawan,kita gembira dan tumpang bangga.Teruskanlah.....

Sekadar ingatan dari seorang kawan,Genggamlah Dunia ini bukan di dalam hati kerana ramai orang menggenggam dunia dengan hatinya tetapi akhirnya kecundang dihujung perjuangan.Dahulukan keutamaan yang dipimpin agar namamu harum serantau,jangan sampai harumnya hanya pada sahabat di hadapan.Semua orang memiliki potensi sama ada terlihat atau tidak kerana itu adalah ketentuan masa,justru pengampu kepada situasi ini adalah menghormatinya.

Ingat selalu dan dengar apa orang lain kata tanpa melihat siapa yang mengucapkannya.

Akhir sekali,

Selamat Berjuang,letakkanlah harapan rakyat dibahu kananmu.Lekatkan harapan tanah ini digenggaman kananmu.Jangan lepaskan tanpa ada titisan keringat tetapi kesatlah peluh apabila ianya menitis kerana jasa dan budi.Lihat selalu orang keliling,adakalanya akan ramai yang mempergunakan kita daripada menghargai kita.

Sekali lagi,Tahniah dan Syabas.Inilah sebenarnya matlamat sewaktu saudara mula berjuang dahulu.Akhirnya,anganan itu tercapai tetapi pada saya,ini adalah ketentuan Ilahi agung.

Salam

Monday, May 4, 2009

SI GADIS SEMUT

Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan Semut.

"Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut" tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.

"Errr… saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel" jawab Gadis Semut kembali. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.

"Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkan ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?" soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.

"Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan" jawab Gadis Semut."Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.

"Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu" tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.

"Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kamu ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama" jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.

"Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa.

"Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?" tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut.

"Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan" jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini" tanya Malaikat Pendakwa."Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan." dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.

"Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan" bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula."Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?"

"Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan" terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.

"Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu" tegas soalan dari Malaikat Pendakwa."Perdana Menteri kami, tuan" lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.

"Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga" bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantuny a.Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu.. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.

"Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini." tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.

"Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya. " jawab Menteri Besar lemah."Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan" tanya Malaikat Pendakwa.

"Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya" lemah jawapan Menteri Besar tersebut.

"Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini" lontar Malaikat Pendakwa.

"Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina." bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.

"Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina" titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar.Undi kita walaupun hanya sekadar satu garisan diatas sekeping kertas akan menyebabkan kita dimasukkan kedalam syurga ataupun neraka. Ingat, apakah jawapan yang mampu kita berikan diakhirat kelak sewaktu dibicarakan dihadapan Allah, Tuhan Rabbul Jalil.

Ingat sumpah kita, janji kita, mission statement kita "Aku berSaksi Tiada ilahi yang disembah melainkan Allah.Aku berSaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah"Sediakanlah jawapan anda. Undilah dengan iman, amal dan akal. Jangan biarkan anda dipengaruhi dengan kebendaan dan keduniaan yang mana ianya tidak akan kekal.Sesuatu yang pasti dan Pasti dilalui adalah Kematian.Setiap patah perkataan yang kita tulis, setiap apa yang kita lakukan,tangan- tangan dan kaki-kaki kita akan menjadi saksi. Tanpa cuai walau sedetik pun waktu berlalu, ada yang menghisabnya.

SEKADAR UNTUK RENUNGAN....

Sunday, May 3, 2009

APABILA ORANG LAMA BERBICARA

Kisah ini saya cedok dari laluan perjalanan Kota Kinabalu - ke Daerah Pergunungan Ranau.Memang menarik perjalanan ini.Selain dari landskap yang indah,ada juga penghias telinga agar tidak bosan sangat.

Di belakang saya duduk,ada dua orang lama yang asyik bercerita.Bermacam perkara yang mereka bualkan.Dari topik pertanian,tanah runtuh sehinggalah kepada budak sekolah dan politik.Dari banyak-banyak yang mereka bicarakan,saya terkasima dengan bualan politik dalam perjalanan.

Bermula dengan perlantikan PM baru,sehinggalah kepada PRU ke-13.Tajam telinga orang lama ni.Mereka kata PRU-13 mungkin akan diadakan pada 2010.Saya tak tahu pula.Bagi saya,tarikh itu tak penting.Apa yang utama adalah SIAPA SELEPAS PRU-13??

Saya minta pandangan mereka,katanya jika BN masih dengan keadaan sekarang,kemungkinan akan berlaku sesuatu.Sambung seorang lagi,jika ingin meneruskan kesinambungan pemerintahan kena betulkan apa yang belum sempurna.

Mereka bangkitkan soal pembangunan Jalan Raya di Sabah.Runtuhan tebing sungai dan ada beberapa perkara lagi yang kurang menarik bagi saya.Bila diamati,memang benarlah masih banyak yang perlu dilakukan.

Setelah lebih 50 tahun merdeka,sepatutnya sudah 99% kesempurnaan pembangunan terutamanya di Sabah.

Bila saya tanyak siapa yang akan dipilih bila mengundi,jawabannya ringkas..RAHSIAH.

TENOM…..

Mana Air Paipnya

Daerah Tenom yang letaknya di Pedalaman,merupakan sebuah Daerah Pertanian yang begitu dekat dan lekat dihati.Di sinilah letaknya Taman Pertanian,di sini juga tumbuhnya buah ajaib dan begitu juga siapa tidak kenal dengan KOPI TENOM yang khabarnya digemari bekas PM TUN DR Mahathir.

Dari sudut lain,sebut saja Tenom,akan beriringanlah nama Hidro Pangi yang dibina atas keluar biasaan sungai Padas.

Saya adalah antara ribuan atau ratusan ribu orang yang kerap berkunjung ke Daerah Pertanian ini.Sedikit demi sedikit saya telah mengenali Daerah ini.Daripada jalan raya Kampung hingga kepada prasarana yang lain.Daripada Pemimpin Parti hinggalah kepada Wakil Rakyat.Walaupun tidak mesra sedekat yang biasa,tetapi dari apa yang saya lihat,Tenom perlu diubah dari banyak segi.

Mungkin masa berubah belum tiba,tetapi sampai bila????

Hari ini 1 Mei,saya balik lagi ke Tenom.Setiap kali balik masalah yang paling merisaukan saya adalah air paip.Maklumlah,semuanya memerlukan air.Daripada mandi,minum dan makan,cuci pakaian dan banyak lagi kegunaannya.Dan hari ini,betullah,air paip memang tak ada.APA JADI DENGAN AIR PAIP TENOM????Tak tahulah kalau di Pekan ada air tapi sebuah pentadbiran yang prihatin,sama ada di Kampung atau Bandar,keutamaan itu sama.Lainlah kalau orang Kampung tak bayar cukai atau tidak mengundi.

Tenom dengan sungai Padas yang cukup besar sepatutnya tidak timbul masalah air tetapi setiap kali saya dan keluarga balik ke Kampung mentua,inilah masalah.Tak ada air.Bukan sekali tetapi sudah berkali-kali.Dalam masa-masa perayaanpun boleh tidak ada air.

Selaku pengguna,saya saranankan agar kualiti perkhidmatan air ini dipertingkatkan dqn bukannya memberi pelbagai alasan apabila ditanya oleh rakyat.Ingatlah “RAKYAT DIDAHULUKAN” Kalau PM dah cakap begitu,buatlah sesuatu yang luar biasa agar pemimpin tidak dipersalahkan.

Saya Cuma takut rakyat akan hilang kepercayaan apabila Pilihan raya kelak,sedang sekarang inipun dah ramai yang merungut tentang kelemahan-kelemahan yang ada.Dan keadaan ini kelak akan menyulitkan tugas-tugas jentera Pilihan Raya.

Kita kena ingat,Rakyat sekarang bukan lagi rakayat 10 tahun lalu.Harus difahami bahawa 3juta pengundi baru bekal menentukan siapa pemerintah selepas PRU ke-13.